Tanah runtuh di Melaka

ALOR GAJAH – Bunyi dentuman kuat mengejutkan sebuah keluarga yang sedang tidur sebelum mendapati tanah bersebelahan rumah mereka runtuh di Taman Rajawali, Durian Tunggal, dekati sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam itu, runtuhan tanah terbabit turut ­mengakibatkan tembok batu sebuah rumah banglo yang dalam pembinaan runtuh berikutan kedudukannya di tebing bukit terbabit.

Saksi kejadian, Sazali Hishamuddin, 35, berkata, dia bersama isteri, Norashikin Abd Rahman, 34, dan empat anak berusia dua hingga 10 tahun sedang tidur sebelum terdengar dentuman kuat.

Menurutnya, dia dan isteri bergegas keluar rumah dan mendapati tebing setinggi kira-kira lapan meter sudah runtuh.

“Keadaan agak panik dan saya segera membawa anak-anak keluar dan bersyukur runtuhan tanah itu tidak merosakkan mana-mana bahagian tepi rumah saya serta tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

“Sebelum ini tiada tanda awal seperti rekahan pada tembok batu yang memungkinkan akan berlakunya runtuhan tebing bukit menempatkan sebuah rumah banglo masih dalam pembinaan,” katanya.

Pemilik banglo, Amran Abdullah, 43, berkata, dia bergegas dari Tangkak ke ­tempat kejadian selepas dimaklumkan seorang adiknya kira-kira jam 1.10 pagi semalam.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat keseluruhan tembok di tepi rumahnya yang dibina kira-kira setahun lalu sudah runtuh.

“Banglo ini sudah siap 95 peratus dan masih di bawah tanggungjawab kontraktor berikutan saya belum menandatangani sebarang dokumen.

“Selepas mendapatkan khidmat nasihat, masalah ini akan diselesaikan secara ­perlahan-lahan,” katanya.

Amran berkata, menganggap kejadian berlaku memberikan hikmah besar buat dia sekeluarga kerana perancangan awalnya, dia akan mula memasuki kediaman terbabit pada 1 Muharam lalu, namun menangguhkan niat itu.

“Jika tidak, pasti ada perkara buruk yang berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulau, Durian Tunggal, Roslan Ahmad berkata, kejadian ­tanah runtuh pertama kali berlaku dan bersyukur tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Menurutnya, kebiasaannya jalan belakang menjadi jalan utama penduduk taman sebagai jalan singkat dan bernasib baik ketika kejadian tiada kenderaan melaluinya.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan ­segera ke atas kejadian tanah runtuh ini kerana jarak tebing ini terlalu dekat dengan rumah penduduk dan tidak mahu perkara tidak diingini berlaku.

“Kita mungkin tidak sedar sekiranya terdapat kanak- kanak yang akan bermain ­berhampiran tanah runtuh itu lebih-lebih lagi musim hujan sebegini pelbagai perkara boleh berlaku,” katanya.

Melakadaily

0 Response to "Tanah runtuh di Melaka"

Post a Comment

terima kasih

Note: Only a member of this blog may post a comment.

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme